Impian Penghujung Kehidupan

“Jika saat ini adalah saat terakhir kehidupanku , apa yang aku ingin harapkan dari ibu dan bapa, dari keluarga, dari rakan-rakan dan dari kehidupan ini ?

Aku harapkan ibuku akan meredhai segala apa yang diberikan kepadaku sepanjang kehidupanku. Aku harapkan ibuku menghalalkan segala-galanya untukku. Aku ingin supaya ibu menganggap aku adalah anak yang terbaik pernah dibesarkan, anak yang taat dan soleh, anak yang tidak pernah menyakiti hatinya. Kasih sayang yang aku berikan senantiasa menyenangkan hatinya. Malahan ibuku akan selalu mendoakan kesejahteraan diriku di hari akhirat kerana aku adalah anak solehnya.

Aku harapkan ayahku mengerti pemergianku adalah pemergian bermakna bagi beliau. Air mata seorang lelaki yang penuh dengan pelbagai pengalaman kehidupan menitis pemergianku. Semestinya aku mengharapkan ayahku mengenang kehidupanku sebagai seorang anak yang sentiasa menjaga keperluan kehidupannya. Anak yang taat yang akan sentiasa berada di sisinya samada dia dalam kesenangan atau kesempitan. Seorang anak yang sentiasa mendoakan kesihatannya. Di saat itu, ayahku akan mengimamkan jenazahku dan membawa jenazahku dalam esakan sebagai seorang ayah. Baginya, aku adalah anak yang tidak pernah menyakiti hatinya bahkan senantiasa menenangkan hatinya setiap masa.

Untuk keluargaku, aku pasti mengharapkan mereka mengenang pemergianku nanti adalah pemergian seorang ahli keluarga yang bertanggungjawab. Seorang anak saudara yang tidak lokek harta dan ilmu, seorang abang yang perihatin dan menyayangi, seorang adik yang sentiasa memahami, seorang saudara yang kental, sabar, berilmu, penuh dengan didikan agama.

Aku juga harapkan semasa pengkebumianku nanti dihadiri rakan-rakan taulan yang ramai. Kerana saat itu, aku adalah rakan, sahabat mereka yang disayangi. Seorang sahabat yang sentiasa tenang wajahnya, sahabat yang sentiasa bertoleransi, memberi kerjasama yang erat, yang sanggup membantu walau dalam kesempitan. Aku mengharapkan mereka menghargai segala jasaku. Pasti, pada mereka , aku adalah sahabat ,rakan yang terbaik pernah mereka miliki dalam kehidupan ini. Jika diberikan kekayaan melimpah ruah untuk berabad lamanya, bagi mereka, persahabatan aku lebih bernilai dari seluruh isi dunia.

Dan…

Itulah secebis impian penghujung kehidupanku…”

Tak kira walauapapun impian kita, itu adalah sebenarnya matlamat kehidupan kita di dunia ini. Jika kita inginkan kematian kita didalam ‘husnul khatimah”, maka kita perlu berusaha ke arahnya. Justeru, berusahalah agar kita sentiasa berada di atas landasan yang sepatutnya bagi mencapai matlamat hidup yang kita impikan. :)

Share on Facebook

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *