Mengenali Hutang Baik & Hutang Jahat

Apabila disebut berhutang, ramai yang cuba lari dari belenggu hutang. Namun, dalam dunia yang penuh dengan kemudahan memberi hutang ( kemudahan kredit ) hari ini, orang yang berhutang sendiri pun tak sedar yang dirinya sedang berhutang. Walaupun bijak dibangku sekolah, belum tentu kita mampu terlepas dari jerat hutang hari ini. Dari hutang/pinjaman pelajaran sehinggalah hutang negara. Semua orang tak terlepas dari hutang. Bahkan lebih dahsyat untuk orang-orang Islam, hutang zaman kini tak dapat lari dari terma riba. Itulah yang paling menjengkelkan. Nak tinggalkan hutang ber’riba’, terperangkap pula dengan produk kewangan islamik yang jauh tinggi harganya. Bak kata pepatah, ditelan mati emak, diluah mati bapak. Terlepas dari bahaman buaya, terjerat dalam mulut singa.Credit to TheDebtHawk

Oleh kerana begitu sukar untuk hidup di dalam dunia yang penuh dengan hutang hari ini, lebih baik kita selidiki semula dan mengenalpasti apakah perbezaan yang wujud dalam hutang yang boleh memberikan faedah kepada diri untuk jangka masa yang panjang.

Hutang boleh dibahagikan kepada 2 bahagian. Hutang yang boleh menyebabkan kita menjadi hamba selama-lamanya adalah hutang yang jahat. Sebaliknya hutang yang menjadikan kita tuan, itulah hutang yang baik. Kebanyakan hutang jahat berpaksikan kepada keinginan dan kehendak nafsu.Sebagai contoh berhutang untuk membeli kereta mewah yang jauh dari kemampuan sebenar diri. Hutang jahat sebegini akan menyukarkan situasi kewangan diri dan keluarga dalam jangka masa panjang. Banyak lagi hutang jahat yang ada dikeliling kita hari ini. Antara contoh yang paling terdekat ialah penggunaan kad kredit yang tidak bijak. Ia adalah satu contoh yang paling tepat.

Menurut sumber yang dipetik daripada Bank Negara Malaysia(BNM), sebanyak 8.8 juta kad kredit dikeluarkan oleh institusi kewangan di seluruh negara dengan purata setiap pemilik mempunyai 3 kad kredit. Memang jumlah ini agak lebih daripada keadaan biasa. Pada hakikatnya, kira-kira 30 peratus kes muflis melibatkan pemegang kad kredit. Hampir kebanyakan pemilik kad kredit yang muflis ialah eksekutif muda yang berusia bawah 30 tahun.-sumber KonsumerKini

Hutang jahat akan menyebabkan gaji/wang kita keluar setiap masa. Aliran keluar yang mencurah-curah tanpa ada aliran masuk mampu menjadikan seseorang muflis. Natijahnya, seorang bapa mudah menjadi runsing, perengus, mudah bengis disebabkan masalah kewangan ini. Bahkan krisis kewangan sebegini terbukti merosakkan institusi kekeluargaan, hubungan persaudaraan, dan halangan untuk seseorang muslim memikirkan agenda ummah dek terbelengu dengan kewangan peribadi.

Hutang baik pula berpaksikan kepada keperluan. Namun begitu bukan semua keperluan adalah keperluan. Keperluan pengangkutan untuk memudahkan pergerakan adalah kemestian. Walaubagaimanapun keperluan tersebut masih boleh diperincikan dan didalamnya ada keperluan mendesak dan keinginan. Terpulang kepada kebijaksanan masing-masing. Sebaik-baiknya orang yang bijak memenuhi keperluan mendesak terlebih dahulu.

Bahkan dengan hutang baik, kita mampu mewujudkan aliran tunai yang baik. Sebagai contoh, sekiranya kita mendapatkan hutang /pinjaman perumahan dengan tujuan untuk menyewakan atau tinggal menetap,hutang ini mampu menjadi hutang yang baik. Kenapa? Hutang rumah boleh memberi 2 jenis pulangan atau aliran masuk ke atas kewangan seseorang. Pulangan tersebut ialah aliran tunai masuk ( sekiranya disewakan ) dan aliran modal ( kenaikan nilai aset hartanah ).

Kesimpulannya, kenali hutang terlebih dahulu.

  • Perlu atau tidak? Adakah berhutang kerana keperluan atau keinginan ?
  • Sekiranya ia satu keperluan, adakah ia benar-benar perlu atau disebaliknya ada kehendak yang meruntun.
  • Jika hutang tersebut menjamin aliran tunai yang baik, matlamat keperluan atau kehendak boleh diabaikan :)

Dalam dunia yang penuh dengan hutang, berhati-hatilah. Hutang boleh diibaratkan sebilah pisau yang tajam. Seorang yang bijak menggunakannya dengan jalan yang betul. Begitu sebaliknya.

Selamat berhutang ! :)

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.