Apa Kata Anda Tentang Bajet 2011?

Saya fikir belum terlambat untuk menulis tentang bajet 2011 di dalam blog ini. Bajet yang diumumkan pada 15 Oktober telah pun diperkatakan dan diperdebatkan oleh sebahagian masyarakat. Sebahagiannya menggunakan bajet tersebut untuk menjadi arah tuju perniagaan. Tak kurang juga sebahagian lagi menunggu bulan jatuh ke riba. Walau apapun, bajet 2011 ialah langkah persediaan kerajaan yang patut kita contohi dalam kehidupan seharian.

Menyediakan bajet adalah langkah terbaik sebelum berbelanja. Berbelanja tanpa bajet pasti mengundang padah. Kesudahannya kes hutang isirumah yang meningkat, kurangnya peruntukan simpanan hari tua, dan hidup dalam ketakutan akibat kes kebankrapan. Kesemuanya mempunyai natijah yang buruk jika terlebih belanja.

Jumlah hutang isi rumah pada tahun 2009 ialah 77% Dari GDP ( Gross Domestic Product) iaitu RM389billion. Ia adalah jumlah tertinggi dikalangan negara Asia. Sebanyak 27% dari hutang isirumah rakyat Malaysia pula adalah hutang yang melibatkan pembelian kereta. Apa makna semua ini dan kaitannya dengan bajet 2011?

Rakyat Malaysia Suka Berhutang @ Terpaksa Berhutang ?

Inilah persoalan sebenar yang perlu dirungkaikan jawapannya bersama. Tak kira diperingkat nasional mahupun ahli mesyuarat sembang kopi-o.

Diperingkat negara, hutang negara terus bertambah dengan “Bajet 2011″ yang mencatatkan defisit kali ke 14 semenjak tahun 1998. Maknanya kerajaan masih mengamalkan perbelanjaan berlebihan berbanding hasil yang diterima. Ini bukanlah sesuatu yang sihat. Fikirkan sekiranya konsep tersebut dipraktikkan oleh individu. Selama 14 bulan mengamalkan perbelanjaan melebihi gaji yang diterima. Ini sesuatu yang “gila”. Dari laporan audit negara 2009, hutang negara kini mencakupi 53.7% dari Keluaran Dalam Negara Kasar iaitu berjumlah RM363 billion. Sebahagian besar iaitu RM348 billion pula adalah hutang dalam negara dan ia adalah 96.2% hutang yang ditanggung kerajaan persekutuan.

Orang yang berhutang, semestinya membayar semula hutang tersebut. Di dalam dunia serba riba hari ini, hutang tersebut mesti dijelaskan sekali dengan faedah yang dipersetujui. Apakah kesan buruk sekiranya hutang tidak boleh dibayar pada tempoh masa yang ditetapkan?

Pernah dengar krisis ekonomi Greece? Krisis yang mendedahkan kes-kes hutang negara-negara eropah yang buruk. Situasi ini tidak mustahil boleh terjadi di negara kita. Dijangkakan dalam tempoh tahun 2010-2012, negara perlu melangsaikan hutang sebanyak RM101billion melalui terbitan bon yang dikeluarkan. Nescaya hutang ini tentu akan dilunaskan melalui hutang lain. Hutang dibayar dengan hutang. Inilah tingkahlaku ‘korek lubak,kambus lubang”. Sesuatu kerja yang sia-sia.

Bebanan hutang kerajaan ini kelak akan ditanggung oleh rakyat Malaysia samada secara lansung atau tidak lansung. Buktinya rakyat terpaksa menanggung kos sara hidup yang lebih tinggi berbanding sebelumnya. Antaranya dengan kenaikan cukai. Tahukah anda cukai perkhidmatan yang bakal dikenakan tahun 2011 telah meningkat 1% kepada 6%? Selain itu, subsidi negara pasti akan dikurangkan serendah yang mungkin untuk mengelakkan perbelanjaan besar negara. Kurangnya subsidi bermakna harga barangan yang tinggi. Ohh…subsidi ini sebenarnya saya anggap ia kewajipan negara. Ia mesti ditanggung oleh negara umpama kita memperuntukkan wang saku atau wang untuk ibu bapa sebagai tanda mengenang jasa.

Justeru, masyarakat pasti memilih jalan hutang untuk menampung kos sara hidup yang tinggi tadi. Sudahlah kurangnya pendidikan kewangan dikalangan lepasan ijazah mahupun rakyat keseluruhannya. Bebanan hidup pula memaksa golongan sederhana berhutang setiap masa. Apakah ini baik untuk negara? Perbelanjaan domestik negara dipacu oleh hutang isirumah yang besar pastinya akan memudaratkan kesihatan ekonomi negara.

Perbelanjaan Berhemah & Hutang Baik

Sesetengah perkara boleh diubah oleh individu biasa. Tak semestinya menunggu dan merungut pada apa yang diluar kawalan kita. Untuk merubah sesuatu, perubahan tersebut harus datangnya dari dalam. Perubahan tersebut boleh dilakukan oleh diri kita sendiri. Untuk mengelakkan hutang yang memudaratkan, seharusnya kita berdisiplin dalam menguruskan kewangan peribadi. Tetapkan bajet 2011 tersendiri yang mempunyai matlamat masing-masing. Selepas bajet persendirian ditentukan, disiplin yang kuat amat diperlukan dalam perlaksanaanya. Elakkanlah dari berhutang untuk kemewahan yang memudaratkan. Islam telah pun mengajar perihal ekonomi dan sifat ‘Zuhud & Qanaah”. Kembalikan diri kita kepadanya dan halusilah susur galur kehidupan berpandukan al-Quran dan Assunnah.

Sekiranya kita terpaksa berhutang, tetapkan kemampuan kewangan sesuai dengan kewangan diri untuk melunaskannya kembali. Perhatikan dan lakukan kajian terlebih dahulu untuk setiap hutang yang melibatkan pihak bank. Sekiranya menghadapi masalah untuk membayar hutang, jangan lari darinya. Sebaliknya fikirkan alternatif dan carilah nasihat dari orang yang arif tentangnya.

Selamat menetapkan Bajet Tahunan masing-masing ! :)

Comments

  1. salam
    terima kasih unt review.
    untuk micro viewnya,
    yang penting untuk umat manusia ialah stop blaming others & pandai² kayuh diri sendiri.
    takdak sapa yg paksa suruh berhutang, & takdak sapa yang paksa suruh beli.

Speak Your Mind

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.