Salah satu bahagian penting dalam perancangan kewangan ialah MERANCANG PERSARAAN. Oleh kerana begitu pentingnya merancang persaraan, kerajaan melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja ( KWSP ) mengambil peranan besar menguruskan sebahagian simpanan pekerja untuk usia tua kelak.
Namun, anda tidak boleh menyerahkan bulat-bulat peranan merancang persaraan. Anda mesti tahu, faham dan bagaimana melaksanakannya sendiri.
Ramai yang gagal merancang persaraan mereka. Lihat keratan akhbar ni. Hampir RM500 juta dikeluarkan dari tabungan KWSP untuk tujuan perubatan. Bukan itu saja, sekitar 72% pesara membelanjakan habis wang simpanan KWSP mereka dalam tempoh 3 tahun bersara.
Jadi, Apakah MASALAHNYA kalau gagal merancang persaraan ?
- Anda akan MISKIN.
- Anda terpaksa bergantung kepada anak-anak. Itupun jika anak-anak mampu dan baik.
Kenapa anda perlu merancang PERSARAAN anda ?
- mempunyai wang secukupnya untuk berbelanja sepanjang hidup selepas bersara
- tidak menyukarkan kehidupan orang lain ( anak-anak jika ada & boleh diharap )
- mempunyai akses perubatan ( usia tua memang banyak sakit )
- disayangi orang sekeliling ( ada duit, hidup masih boleh berdikari )
- mengelak dari dihantar ke rumah orang-orang tua
- menikmati usia persaraan dengan percutian menarik
- dapat menumpukan sepenuh perhatian pada ibadah
Okay. Penting kan merancang PERSARAAN. Soalannya sekarang bagaimana ? Ramai agent di luar sana samada agent insurans ataupun agent unit trust yang mempromosi plan persaraan. Tapi anda sendiri perlu tahu & faham bagaimana merancangnya. JANGAN RISAU. Saya bukan nak jual apa-apa produk pada anda. Artikel ini saya tulis untuk memberi kefahaman, kesedaran dan berkongsi serba sedikit ilmu kewangan untuk manfaat bersama. Apabila anda tahu jalannya, anda sendiri tentukanlah jalannya.
Okay.
Bagaimana Nak Merancang Persaraan Anda ?
Mari kita buat bersama. Saya singkatkan kepada beberapa langkah sahaja.
——————————————————————————————————–
LANGKAH 1 : Mengira Tempoh Sebelum Bersara
Perkara pertama sekali, anda perlu tahu bila nak bersara. Pada umur berapa. Umur persaraan sekarang ialah 60tahun. Ada yang 55 tahun. Tak kisah lah berapa. Lain orang, lain rancangannya. Ada yang ingin rancang bersara awal. Sebagai contoh, katakan saya ingin bersara pada umur 60 tahun.
Umur sekarang : 28 tahun
Umur Persaraan : 60 tahun
Tempoh masa sebelum bersara = Umur Persaraan – Umur Sekarang =60-28 = 32 tahun
Jadi, tempoh masanya ialah 32 tahun lagi sebelum saya bersara.
——————————————————————————————————–
LANGKAH 2 : Menentukan Pendapatan Setahun Ketika Bersara
Apabila tiba masanya bersara. Ramai orang teruja untuk keluarkan duit KWSP. Dan ramai juga orang disekeliling yang tak sabar-sabar nak mengaku kawan dan saudara mara. Almaklumlah duit banyak. Namun, kegagalan merancang dengan betul akan menyebabkan wang tersebut habis dalam masa yang singkat. Bayangkan anda telah bersara setahun. Wang KWSP pun dah habis. Bagaimana anda ingin teruskan kehidupan esok harinya ? Siapa nak tolong bayarkan makan minum esok hari?
Jadi penting anda mengetahui bajet ketika persaraan. Masalahnya saya sendiri pun tak tahu apa perbelanjaan saya 32 tahun lagi. Justeru, pakar kewangan menasihatkan supaya menganggarkan 60% dari pendapatan hari ini sebagai jumlah pendapatan yang diperlukan ketika persaraan.
Pendapatan Semasa : RM 5000
Pendapatan Setahun : RM5000 x 12 bulan = RM60,000
Pendapatan Ketika Bersara : 60% x RM60,000 = RM36,000
Untuk memudahkan perancangan, kirakan pendapatan untuk setahun terus.
——————————————————————————————————–
LANGKAH 3 : Menentukan Jumlah Nilai Pendapatan Setahun Ketika Bersara
Inflasi menyusutkan nilai wang. Nilai RM1 hari ini lebih mahal dari RM1 tahun depan. Begitu juga dengan merancang persaraan. Nilai pendapatan yang anda anggarkan pada masa sekarang lebih bernilai berbanding ketika bersara nanti. Dengan mengandaikan kadar inflasi tahunan secara purata pada kadar 5% setahun, mari kita kira .
Pendapatan Setahun Ketika Bersara ( hari ini ) = RM36,000
Kadar Inflasi setiap tahun = 5%
Setelah mengambil kira tempoh masa lagi 32 tahun, nilai wang bagi RM36,000 ialah RM198,576.55. Lihat. Perbezaan yang sangat ketara. Kira-kira ini menggunakan formula Nilai Masa Wang ( Time Value Money ). Anda boleh rujuk template excel yang telah saya sediakan.
——————————————————————————————————–
LANGKAH 4 : Menjana Pendapatan Setahun Persaraan Dari Pelaburan
Sekarang anda dah tahu berapakah pendapatan setahun yang diperlukan untuk bersara nanti. Soalnya sekarang, bagaimana nak dapat duit/pendapatan banyak tu? Nak pula tanpa berkerja. Menggunakan kelebihan ilmu kewangan, anda boleh menjana pendapatan setahun yang banyak tu dengan membuat pelaburan sejumlah duit.
Persoalan seterusnya ialah berapa banyak wang pelaburan tersebut diperlukan?
Pendapatan Setahun Yang Diperlukan : RM198,576.55
Tempoh Tahun Bersara : 25 tahun
Kadar Dividen Pelaburan : 8% p.a
Jumlah yang diperlukan untuk menjana pendapatan bersara setiap tahun ( RM198,576.55) ialah RM 1,004,504.84 . Wow!!!
Memang banyak tu. Anda perlukan hampir RM 1 juta pada umur 60 tahun nanti. Barulah wang tersebut dapat menjanakan pendapatan bersara setiap tahun untuk hari-hari persaraan anda.
KESIMPULAN
Anda perlu mula menyimpan dari sekarang. Itu salah satu jalannya. Memang ada kaedah lain. Buat masa ini, saya kongsikan dulu langkah penyelesaian mendapatkan RM1 juta tersebut melalui kaedah menyimpan. Bagaimana kira-kiranya? Anda boleh menggunakan template excel yang telah saya ciptakan ini.
password : naimrahim
Demikian barulah anda boleh merancang berapa sebulan yang perlu anda simpan. Dan apakah kesannya jika anda menyimpan di tempat yang boleh memberikan kadar dividen yang lebih tinggi.
Selamat Mencuba..
Ps : Saya akan menulis bahagian kedua untuk merancang persaraan melalui simpanan nanti.
Leave a Reply