Dalam artikel kali ini, saya ingin berkongsi tentang satu perkara yang selalu orang buat tak endah. Ya. Orang selalu tak endahkan polisi atau sijil takafulnya tak berbayar dan lupus. Bagi mereka perkara sijil lapsed/tak berbayar / lupus adalah perkara biasa. Ada yang sanggup dahulukan perbelanjaan lain ( perkara bukan keperluan ) dan biarkan polisi lupus. Contohnya menggunakan wang yang diperuntukkan untuk insurans/takaful untuk membeli gajet-gajet canggih, pakej percutian, pakaian-pakaian yang cantik untuk hari raya dan macam-macam lagi.
Walaupun telah diperingatkan ( ada syarikat insurans/ pengendali takaful yang menghantar surat notis peringatan ) oleh agent, masih tetap ada yang buat tak peduli.
Akhirnya….
Mari saya khabarkan. Tahukah anda apabila polisi anda luput, segala manfaat yang ditawarkan akan terbatal secara otomatik.
Saya ada client-client begini. Yang suka ambil mudah. Sebelum polisi mereka lupus, saya akan peringatkan hampir setiap minggu. Namun, ada yang sanggup matikan telephone. Ada juga yang tak angkat panggilan saya. Pada mereka, mungkin itulah cara paling mudah untuk mengelak dari diperingatkan. Alangkah bagusnya kalau dibawa berbincang terlebih dulu. Bincang tentang bagaimana untuk pastikan polisi tetap hidup walaupun tak dapat buat bayaran sementara. Ataupun sebaliknya.
Masalahnya ialah apabila berlaku perkara-perkara malang dalam tempoh tersebut. Kawan saya (agent) pernah mengalami masalah yang sama. Apabila dimaklumkan supaya buat bayaran pada masanya, si client buat endah tak endah. Dari 1 bulan hinggalah 3 bulan tak berbayar. Akhirnya polisi tersebut luput. Tup tup, tak sampai seminggu anak si client demam dan disahkan denggi. Barulah kelam kabut menghubungi rakan saya. Tujuannya untuk membuat bayaran penuh yang dah tertunggak 3 bulan. Tapi….malang. Apabila polisi anda telah lupus, bayaran tunggakan tidak akan mengaktifkan segera manfaat yang ditawarkan. Sebaliknya anda akan terikat semula dengan tempoh menunggu yang ditetapkan. Dalam kes di atas, client mesti menunggu tempoh selama 4 bulan dan segala penyakit yang berlaku dalam tempoh 30 hari dari tarikh bayaran dibuat, tidak lagi ditanggung oleh syarikat insurans/ pengendali takaful buat selama-lamanya.
Kesimpulannya, elakkan dari membiarkan polisi anda lupus. Kalaupun tak mampu bayar, polisi untuk berkait pelaburan, boleh diturun taraf kepada amaun caruman yang mampu anda bayar. Jangan sesekali mengambil jalan mudah dengan membiarkan polisi lupus dan berharap anda tidak ada amasalah untuk ambil polisi baru kemudian hari.
Ps : peserta takaful/insurans yang kerap mengambil mudah dalam hal ini banyaknya dari golongan Melayu. Tak tau kenapa.
Fungsi Penama Dalam Insurans & Takaful
Apabila anda menyertai takaful atau membeli polisi insurans, anda pasti akan diminta untuk menyenaraikan penama dalam borang permohonan. Anda tahu kenapa ? Penamaan tersebut akan memudahkan urusan harta pusaka apabila anda meninggal kelak. Perkara ini memang sangat penting bagi mengelakkan urusan tuntutan yang lebih susah. Betul, tak percaya ? Memang susah nak tuntut harta pusaka apabila tiada penama. Banyak pihak ( ibu bapa, anak-anak, isteri, adik beradik ) akan membuat tuntutan hak ke atas harta tersebut. Kebanyakan kes-kes bagi harta yang tidak diuruskan ini akan terbeku ( tidak produktif ) begitu sahaja.
Pernah tak anda terdengar kes-kes harta pusaka yang tak dinamakan pewarisnya? Saya begitu yakin urusan menuntut harta pusaka ini banyak memberi kesan lansung ke atas hubungan silaturrahim sedia ada.
Baiklah. Kita tinggalkan dulu masalah-masalah yang telah terjadi di luar sana yang berkaitan dengan harta pusaka. Tujuan saya menulis artikel kali ini ialah untuk berkongsi tentang fungsi penama yang ada dalam borang permohonan takaful anda. Oh ya, saya tidak akan sentuh tentang penama dalam borang permohonan INSURANS konvensional. Konsep insurans konvensional adalah bertentangan syara’ dan hartanya tentulah tidak mematuhi syara’. Sebab itu saya tak akan sentuh penerangan berkaitannya.
Berbalik kepada fungsi penama dalam borang permohonan takaful. Sekiranya peserta adalah bukan muslim, penama yang dinamakan mempunyai hak mutlak ke atas harta tersebut. Sedangkan peserta yang muslim pula, penama yang dinyatakan hanyalah bertindak sebagai PENJAGA AMANAH yang mesti membahagikan semua wang pampasan tersebut mengikut sistem faraid dan lain-lain hak harta yang ada. Dengan itu, urusan menuntut harta pusaka akan menjadi lebih mudah dan tidak perlu mengambil masa yang lebih lama.
Terkini, saya difahamkan di bawah akta “Islamic Financial Services Act 2013” yang baru diperkenalkan. Semua penama yang disenaraikan mempunyai hak mutlak ke atas wang pampasan takaful. Jadi, apa kesannya ?
Mari kita lihat bersama melalui contoh di bawah.
En NajibRazak ( bukan nama sebenar ) telah menyertai 1 skim takaful. Beliau menamakan ayahnya, En Anwar sebagai penama. Setelah berkahwin dengan Rosmah, beliau dikurniakan 2 orang anak. Mungkin sudah sampai ajalnya, beliau meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya. Oleh kerana en NajibRazak telah menyertai skim takaful, penyerahan cek bernilai RM1 juta telah disampaikan kepada ayahnya.
Mengikut akta takaful 1983, en Anwar ( ayah ) semestinya membuat pembahagian harta mengikut faraid. Namun, ia berbeza apabila perlaksanaan akta baru di bawah Islamic Financial Services Act 2013. En Anwar mempunyai hak mutlak ke atas harta tersebut. Jadi Rosmah ( isteri ) dan anak-anak arwah tidak dapat mencabar en Anwar di mahkamah. En Anwar mungkin kurang faham dengan kaedah pembahagian harta pusaka mengikut Islam. Jadi beliau tersalah anggap dengan menyangka wang tersebut adalah harta miliknya dan menggunakannya.
Kedengaran kurang menyenangkan bukan ? Dalam Islam, en Anwar boleh dianggap telah memakan harta anak -anak yatim dan sudah tentu berdosa besar. Beliau sebenarnya tidak tahu tentang hal faraid dan kaedah pewarisan harta dalam islam. Kesian kat dia.
Jadi apakah penyelesaiannya ?
Walaupun berbeza akta, anda yang memiliki sijil takaful mesti memberi kefahaman kepada penama terlebih dahulu. Sebaiknya ketika anda telah diberikan polisi takaful. Khabarkan. Bagi penerangan kepada penama ( yang paling anda percaya ) tentang sijil takaful tersebut. Mereka berhak tahu supaya tidak berlaku salah faham. Sebenarnya penama hanya bertindak sebagai penjaga amanah sahaja. Kalau perlukan ‘hitam putih’, sediakan. Sebab itu pentingnya wasiat. Wang pampasan tersebut boleh diagihkan mengikut persetujuan bersama ahli waris. Harus diingatkan, harta pusaka tidak boleh diagihkan melainkan setelah menunaikan hak perbelanjaan pengebumian, hak hutang dan hak harta sepencarian terlebih dahulu. Kemudian jika ada wasiat ( hanya 1/3 dari harta pusaka dan diberikan kepada ahli bukan waris ), tunaikan. Selebihnya iaitu 2/3 baru boleh diagihkan mengikut persetujuan bersama ahli waris. Jika ada mana-mana ahli waris yang tidak bersetuju, barulah kaedah faraid digunakan. Itulah indahnya sistem pengurusan harta dalam islam.
Ps : Ada pengendali takaful yang menggunakan konsep hibah umra’ & ruqba dalam pengendalian sijil takaful. InsyaAllah, ada masa kelak saya akan huraikan lebih lanjut.
Recent Comments