Dirompak Ketika Jumpa Client

Pernah tak anda dirompak? Menjadi mangsa rompakan? Kali ni saya nak kongsikan kisah saya menjadi mangsa rompakan. Mudah-mudahan para pembaca dapat mengambil langkah berjaga-jaga dan iktibar dari pengalaman berharga saya.

Kisah Rompakan Bermula…
Tarikhnya 12/12/12. Lokasi berlaku di sebuah kedai di Pekan Rawang. Saya temankan kawan sekerja menziarahi client dia. Kebetulan client beliau ialah owner sebuah perniagaan. Jadi kami ke kedai dia je la. Kejadian rompakan tu berlaku dalam jam 3.50 petang. Sekumpulan perompak ( antara 5-8 orang ) masuk ke kedai beliau dengan menyamar sebagai polis. Modus operandi ialah dengan menyamar dan meminta lesen perniagaan.

Kemudian mereka menggeledah keseluruhan kedai. Apa yang saya perhatikan, semuanya bersenjatakan parang 2 kaki. Seorang india dan bakinya melayu. Mereka rampas semua telephone ofis dan bimbit, alat rakaman cctv, duit-duit tunai di kaunter dan 2 buah kereta milik owner kedai. Semuanya berlaku dalam masa 10-15 minit. Tanpa topeng dan sarung tangan.

Iktibar & Langkah Berjaga-jaga…

Sebagai mangsa yang terlibat, ini satu-satunya pengalaman berharga yang saya pasti boleh membantu orang-orang awam di luar sana. Maksud saya, langkah-langkah persediaan dan apa yang boleh anda lakukan selepas berlaku rompakan.

Sebelum berlaku :

  • jangan tinggalkan dompet kosong atau baki RM10. Biarlah minima dalam RM100 ke atas. Kenapa? Kalaulah dirompak, sekurang-kurangnya ada duit untuk dirompak :) bayangkan kalau xde. Mungkin keselamatan diri anda akan goyah. Pernah tonton movie ‘tresspass’?
  • pasang apps atau apa-apa software yang boleh menjejak phone anda jika hilang atau dicuri. Ada 1 kes dimana si mangsa memasang function ‘i clouds’ dan pencuri tertangkap oleh sebab function apps tersebut

Semasa berlaku :

  • panik tu normal. Cuma jangan over. Perompak akan minta barang-barang yang bernilai yang ada pada kita. Jadi serahkan saja. Ingat nyawa lebih berharga dan tiada nilai tara bandingnya.
  • saya sempat minta dompet semula. Jadi, jangan takut untuk meminta sesuatu yang bernilai pada anda tapi tidak pada si perompak. Cuba. Kalau tak dapat, nak buat macammana
  • jikalau boleh, cuba cam wajah si perompak. Seboleh-bolehnya. Cukup dengan 1 wajah pun ok. Ini sebenarnya sangat berguna untuk membantu pihak polis menyiasat
  • melawan? Kalau mampu, lawan le. Tapi kalau tak, baik jangan. Fikirkan sewaras-warasnya kelebihan dan kekurangan kalau anda mengambil langkah untuk berlawan.

Selepas rompakan…

  • kalau berani, cuba ekori si perompak dari jauh dan hubungi polis. Kalau tak berani ekori, hubungi pihak polis untuk aduan segera. Mana tahu kalau polis yang hendak bertindak segera.
  • segerakan laporan polis di balai. Pihak polis akan mengambil keterangan dari mangsa kejadian. Dapatkan salinan laporan polis untuk kegunaan lain kelak. Contoh untuk membuat kad pengenalan.
  • duduk dan fikirkan semula mana-mana tindakan yang perlu anda ambil secara segera atau berperingkat. Sebagai contoh menghubungi pihak bank untuk kad kredit.

Rasanya ini je la yang saya boleh belajar dari pengalaman dirompak. Di Malaysia, perompak dah semakin berani menyamar jadi polis. Jadi sebagai orang awam, kita mesti lebih berhati-hati. Jangan sesekali mudah percaya kepada mereka yang mengaku polis. Minta mereka tunjukkan kad kuasa terlebih dahulu sebelum membenarkan mereka masuk ke kediaman anda,ofis mahupun kedai anda.

Semoga membantu