3 Tip Dari Pakar Untuk Rundingan Berjaya

Oleh sebab lama tak menulis dan kebetulan program malam terpaksa dibatalkan, maka saat ini memang sesuai sangatlah. :)

Setiap hari, kita tak dapat lari dari berinteraksi dengan manusia di sekeliling. Semakin mantap kita berkomunikasi, semakin mudah kita menyerlah. Betul tak? Tak kisahlah apa cara sekalipun kita berinteraksi. Caranya pasti pelbagai. Cuma hasilnya 2 sahaja. Baik atau buruk.

Persoalannya bagaimana kita nak dapatkan hasil yang baik dari interaksi yang kita lakukan?

Hurmmmm…susah nak jawab. Kebetulan apa yang saya tulis ini telah pun dipermudahkan dalam buku ” Secret of Power Negotiating” . Fokus kandungannya berkisarkan negosiaisi dalam urusan perniagaan. Tapi ideanya boleh digunakan dalam interaksi kehidupan seharian kita.

Jangan Fokus Pada Satu Isu
Kebiasaanya dalam setiap urusan jual beli seharian kita, harga adalah fokus kita yang pertama dan utama. Ramai yakin dengan membeli sesuatu barangan pada harga yang murah adalah satu kepuasan. Jadi, fokus kita semuanya pada harga. Sedangkan tujuan utama kita berurusniaga bukan untuk mendapatkan harga murah, tetapi manfaat dari barang yang dibeli. Jika manfaatnya sedikit dari apa yang kita inginkan, tak bererti lah harga yang murah tersebut.

Begitu jugalah dalam interaksi harian kita. Jangan fokuskan pada satu-satu isu untuk mendapatkan kata sepakat sehinggakan boleh menjejaskan interaksi tersebut. Sebagai contoh, jika kita yakin bahawa idea kita adalah terbaik sedangkan ia tidak digemari rakan kita. Jangan terus beriya-iya menegaskan pandangan kita sebaliknya gunakanlah kebijaksanaan. Carilah idea-idea kecil lain yang ada kesamaan dengan pandangan rakan kita yang akhirnya boleh menyokong idea utama kita. Nampak tak? :)

Apa Yang Boleh Saya Beri Tanpa Merugikan Saya Kembali
Apabila berhubungan, selalunya kita lakukan dengan tujuan. Tujuan tersebut berbagai. Walau apa pun tujuannya, kita harus pastikan yang kita telah “memberi tanpa merugikan” diri kita kembali. Justeru untuk memenangi hati orang lain, tak perlu lah kita terus menerus berkorban memberikan segala-galanya dan mengharapkan ada keuntungan di akhirnya. Ataupun sebaliknya meminta berterusan tanpa peduli kerugian mental atau fizikal orang lain. Apa yang harus kita lakukan ialah memberi tapi pastikan tidak merugikan.

Jika dalam perhubungan seharian, berilah apa yang mampu dari kita sendiri tanpa merugikan diri kembali. Jika ia sumbangan berbentuk wang, pastikan ia tidak menyebabkan kita terbeban. Jika ia sumbangan berbentuk tenaga pula, pastikan ia tidak menjadikan kita tertekan akibat berlebihan tugasan. Saya pernah…Anda pernah? :)

Jangan Terlalu Berkira
Ini satu lagi. Andaikan kita sedang berurusan menjual salah sebuah kereta lama. Setelah berurusan, si pembeli bersetuju untuk membayar dan membeli kereta tersebut. Tetapi, sebelum itu, si pembeli meminta kita tambahan servis dengan menukarkan salah satu tayar yang haus. Apakah reaksi kita pada masa tersebut? Nak bagi atau tak? Ramai yang terlalu berkira. Bahkan kerana hal kecil tersebut, ada penjual yang berkeras dan akhirnya mengagalkan urusniaga tersebut.

Begitu juga dalam perhubungan seharian kita. Haruskah kita terlalu berkira dengan sesiapa sahaja hinggakan menyukarkan perhubungan sedia ada yang baik? Atau terlebih kira-kira sampai tak dapat jawapan sewaktu buat kunci kira-kira ? :)

Akhir sekali, marilah kita kembali melihat apa yang selalu kita lakukan seharian dan memperbaiki setiap kekurangan yang telah kita lakukan.Selamat beramal